Tuesday 30 October 2012

Sambung2.. :)


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Okey, sekarang jom kita sambung balik cerita yang terbengkalai daripada entri saya yang lepas. 
Tarik nafas dan senyum! :)           .................................................................................

Badan aku menggelosor ke bawah, menyandar dinding yang melekapkan telefon awam itu. Ayat yang baru aku dengari tadi cuba ditelan dan dihadam. Tanpa dipinta, juraian air suam mengalir di pipiku selari dengan nafasku yang semakin sesak.

"Orang kat balai polis ni," apa yang abang aku kata ni? Darahku berderau. Kenapa?
"Dia tak tau ke? Mak dah tak ada. Orang nak daftar sijil kematian ni. Nanti Bang Pun ambil dia kot."

Pagi itu, hari itu tak mungkin aku lupakan. Malam sebelum pagi itu aku tidur lena namun masih disulami keresahan tetapi aku tak menyedarinya. Enam petang hari sebelum pagi itu aku mencium tangannya dan dahinya. Memohon kemaafan darinya, entah bagaimana ia bagaikan spontan keluar dari bibirku kerana aku jarang memohon maaf daripadanya (kecuali pada hari raya). Dia mengangguk lemah, kali pertama memberi respons atas apa yang kami katakan. Aku akui perangainya berubah apabila sakitnya semakin tenat. Aku faham penderitaan yang ditanggungnya bukan calang-calang. Dan aku akui kerana sikapnya begitulah aku kadangkala menjadi hilang sabar ketika menjaganya. Pernah sekali kerana aku memarahinya memukul-mukul adikku dan juga diriku ketika kami ingin menguruskannya, tangan yang berdosa ini telah memukulnya kembali. Adikku yang berada di sebelahku terlopong. "Pinas...," ucapnya perlahan.

Aku lupa bahawa dia bukan dirinya lagi. Aku bagaikan tidak mengenalinya lagi tapi selamanya dia tetap ibuku, dunia akhirat. Astaghfirullahal a'zim! Setiap kali aku mengenangnya kembali, pasti mata ini akan bergenang, penyesalan datang menyerbu. Malah, peristiwa itulah yang mula-mula menerjah fikiran apabila menerima berita hiba itu. Sahabatku mengingatkan aku syukurlah aku sempat memohon maaf padanya namun hati ini belum mampu tenang tatkala memikirkannya. 

"Mak, ampunkan Pinas ye."

Baru semalam aku menuturkan kata-kata itu, dia mengangguk tetapi sekarang aku melutut di depannya yang sedang terbujur kaku. Perlahan-lahan aku genggam tangannya, sejuk. Dua orang abangku yang berada di sebelahku turut menangis. "Mak..!" Jiranku, Cik Ani datang dan memegang bahu mereka, "Dah dah. Jangan menangis. Baca Yasin banyak-banyak untuk Mak."

Aku melihat Abah di muka pintu, wajahnya tenang namun aku tahu ada kesedihan yang terselindung. Abah meminta aku dan adik perempuanku untuk memandikan Mak. Aku ingat lagi bahawa aku ada seorang mak cik menegurku kerana meletakkan tangan di atas dada ibuku. "Jangan tekan dada Mak macam tu. Sakit dia." Lantas aku teringat bahawa walaupun hanya curahan air atas jasad mereka yang telah meninggal dunia itu, mereka merasa kesakitan yang amat sangat.

Mak dibawa ke ruang tamu untuk dikapankan. Aku kesat air mata dan mencium dahi dan pipinya-buat kali yang terakhir. Adik-beradikku yang lain turut melakukan perkara yang sama. Aku tahu itulah kali terakhir aku menatap wajahnya. Sehinggalah ibuku selamat dikebumikan, aku tahan tangisan dari terus mengalir. Mak Teh, ibu saudaraku serta adikku setia di sisi, memberi sokongan.

Setelah selesai kami sekeluarga menghadiahkan bacaan Yasin untuk Mak, dalam kereta akhirnya Abah mengalirkan air mata namun nadanya tetap tenang. Menyampaikan wasiat daripada Mak yang menyuruh kami anak-anaknya supaya menjaga solat lima waktu. Aku tahu Abah sememangnya pencinta yang sejati. Sebagaimana sabarnya Abah menjaga Mak ketika Mak sakit, tanpa jemu membawanya ke sana ke sini untuk mengubatinya serta tidak pernah meninggalkannya. Ya ALLAH, kurniakanlah aku suami yang setia seperti Abah, atau lebih lagi seperti setianya Rasulullah kepada Khadijah.

Andai ALLAH mentakdirkan masa boleh diundur, aku ingin sekali menjaganya dengan sangat baik, penuh kasih sayang. Aku ingin sekali memeluknya erat, mencium pipinya puas-puas dan mengatakan aku sangat sayang padanya! Kini, aku terlalu rindu padanya, aku hanya mampu berdoa dan penuh mengharap, 

Ya ALLAH, aku rindu akan ibuku tetapi aku sedar dia hanya pinjaman Kau padaku. Maka aku memohon dengan kasihMu, keagunganMu, ampunilah segala dosa ibuku, Habshah binti Bakar. Wahai pemilik syurga, temukanlah dan satukanlah kami di dalam Jannatul Firdausi-Mu ya Rabbi.

...............................................................................................

Pembaca yang saya kasihi kerana ALLAH,

Ingatkah kita bagaimana sabarnya ibu menjaga kita semasa kita kecil di mana kita lemah tidak berdaya? Bagaimana pula kita akan menjaganya ketika dia pula lemah tidak berdaya? Adakah anda akan termasuk dalam kalangan anak yang akan berebut-rebut dengan adik-beradik anda untuk menjaga ibu anda?
Tepuk dada, tanya iman. Satu pesanan saya, lakukan sekarang sementara anda masih berkesempatan. Jangan akhirnya menyesal seperti saya. 


" Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Ibu mereka telah mengandungkan mereka dalam keadaan yang sangat lemah, dan menyusukan mereka sehingga berusia dua tahun. Bersyukurlah pada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada Aku tempat kau kembali"
(Luqman;14)

Maaf atas segala keterlanjuran yang mengguris perasaan.
Next entry : Abah.
Till next time, insyaALLAH.
Wassalam..

No comments:

Post a Comment