Monday 3 March 2014

Subhanallah! Apabila keyakinan melangit pada ALLAH~

Assalamualaikum pembaca yang kasihi kerana ALLAH.
Tulisan ini bukan untuk meraih perhatian, cukuplah moga ia terpilih sebagai saham akhirat ku. :)

Bismillahirrahmanirrahim.

"Kun fayakun" Ayat kedua terakhir surah Yasin ini sudah cukup menggambarkan segala keajaiban yang sukar untuk kita percayai di dunia ini. Kisah yang ingin kukongsikan ini tidaklah seajaib mana tapi sudah cukup untuk aku berfikir sejenak dan bersyukur atas kasih sayang-Nya.

Saat itu, aku menghadapi hari-hari akhir di kampus, menghampiri cuti semester, berjuang dalam minggu peperiksaan. Saat ini jugala aku diuji oleh ALLAH SWT. Bukan ingin membuka pekung tetapi ingin berkongsi betapa ALLAH mendengar doa hamba-Nya dan tidak pernah mensia-siakan niat hamba-Nya.

Dompet ku sudah kurus, akaun bankku juga hanya tinggal beberapa ringgit sahaja. Ya. Aku diuji dengan ujian kewangan. Berlegar-legar di dalam otakku pelbagai cara untuk aku mengatasinya. Ingin meminta pada abang sulungku, dia baru sahaja memasukkan RM200 ke dalam akaunku untuk membayar yuran kolej. Salahku juga boros hingga wang aku akhirnya habis juga. Tidak sanggup meminta padanya. Abang kedua-sedang dalam persiapan untuk majlis perkahwinannya sebelah keluarga kami. Tidak tegar aku ingin meminta padanya. Abang ketiga? Telah banyak menghabiskan  duit untuk rumahku di Taiping dan belanja rumah. Yang tinggal hanya abang keempat. Baca status Facebook adik lelakiku, baru selesai SPM dan sedang bercuti. Ah. Dia juga memerlukan duit untuk membeli nombor pin UPU. Abang keempatku sudah bersetuju untuk memberinya sedikit duit. Tak sanggup meminta padanya setelah dia memberikan wang pada adikku yang lebih jauh memerlukannya. Hilang juga harapan pada satu-satunya harapan.

Okey. Tak mengapa. Aku membuat keputusan untuk 'survive' dengan saki baki wang yang ada. Mengikut perkiraanku, cukuplah jika aku benar-benar berjimat. Aku cuba untuk berpuasa, bagus juga sebenarnya berpuasa pada hari peperiksaan. Otakku lebih cergas dan mindaku lebih aktif. Alhamdulillah.

Hari kedua terakhir aku di kampus, secara 'official' nya duit aku habis dengan membeli kuetiau goreng.(Ini ejaan betul,boleh rujuk kamus dewan :) Alhamdulillah, kenyang malam tu, baru habis exam pula tu. Sepanjang minggu itu, aku fikir manalah nak korek duit ni. Tak sampai hati nak minta daripada abang-abang. Nak pinjam duit kawan, hurm...Tak payahlah. Nak cuti dah. Bila boleh bayar? Aku terfikir, Pinas,Pinas. ALLAH kan ada! Alhamdulillah, dalam minggu peperiksaan sentiasa ini sentiasa ada masa untuk melakukan solat sunat dhuha. Solat sunat dhuha ni kan pintu rezeki, detik hatiku.


Allah berfirman :

"Wahai Anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya "
(Riwayat Ahmad)

Aku bermunajat padaNya, 

Ya ALLAH Ya Tuhanku,
Sesesungguhnya Kau lebih mengetahui atas keadaan ku.
Aku mohon padaMu, agar cukupkanlah aku dengan rezekiMu,
Jika kurangnya ia padaku, maka kuatkanlah aku untuk menghadapi ujianMu ini
Agar aku akan jadi hambaMu yang sentiasa bersyukur.

Pada hari aku ingin pulang, aku masih lagi membuat persiapan terakhir mengemas barang-barangku. Setelah selesai, aku menunggu sahaja abangku untuk mengambilku. Stok makananku juga sudah habis. Pagi itu aku hanya mengisi perutku dengan gula-gula yang tidak sengaja aku terjumpa dan juga saki baki air mineral yang ada padaku. Selepas itu, jadilah aku penunggu yang setia menunggu ketibaan abangku. Beliau tiba pada lewat petang. Ajaibnya, sepanjang aku menunggu beliau hingga lewat petang, tidak sedikit pun perutku mengaduh kelaparan meskipun sumber tenaga yang aku ambil hanyalah  sebiji gula-gula!

Subhanallah! Terdapat pelbagai bukti kekuasaan ALLAH di sini.

Pertama, yang mengenyangkan perut bukan makanan, tetapi ALLAH yang menjadikan perut kita kenyang. Terus terngiang-ngiang suara arwah Abah yang berpesan padaku semasa beliau sedang memandu.

Kedua, berdoalah kepada ALLAH. Nescaya, pasti Dia akan memakbulkan doa hamba-hambaNya. Hanya  jika kita benar-benar melihat segala yang terjadi ada hikmahnya. Sahabatku pernah berkata, "ALLAH sentiasa memakbulkan doa hambaNya. Jika bukan yang kita minta, ALLAH beri perkara lain yang lebih baik daripada itu. Jika bukan di dunia, pasti di akhirat." Berdoalah kepada ALLAH. HambaNya yang benar-benar bertawakal pasti tiada rasa kecewa dalam dirinya. Ada riwayat mengatakan, ALLAH malu jika tidak memakbulkan doa hambaNya.

Cerita penuh ajaib ini diakhiri dengan abangku membelanja aku makan. Maka, perut yang kosong telah terisi. Alhamdulillah. Rezeki milik ALLAH. Kalau kita sentiasa memberi, pasti ALLAH akan juga sentiasa memelihara rezeki kita walaupun pada hakikatnya kita tidak berwang.

Subhanallahi wabihamdihi. Subhanallahil a'zim :)

Moga tulisan ini menjadi saksi,
Syahadah al-Humaira.