Monday 3 March 2014

Subhanallah! Apabila keyakinan melangit pada ALLAH~

Assalamualaikum pembaca yang kasihi kerana ALLAH.
Tulisan ini bukan untuk meraih perhatian, cukuplah moga ia terpilih sebagai saham akhirat ku. :)

Bismillahirrahmanirrahim.

"Kun fayakun" Ayat kedua terakhir surah Yasin ini sudah cukup menggambarkan segala keajaiban yang sukar untuk kita percayai di dunia ini. Kisah yang ingin kukongsikan ini tidaklah seajaib mana tapi sudah cukup untuk aku berfikir sejenak dan bersyukur atas kasih sayang-Nya.

Saat itu, aku menghadapi hari-hari akhir di kampus, menghampiri cuti semester, berjuang dalam minggu peperiksaan. Saat ini jugala aku diuji oleh ALLAH SWT. Bukan ingin membuka pekung tetapi ingin berkongsi betapa ALLAH mendengar doa hamba-Nya dan tidak pernah mensia-siakan niat hamba-Nya.

Dompet ku sudah kurus, akaun bankku juga hanya tinggal beberapa ringgit sahaja. Ya. Aku diuji dengan ujian kewangan. Berlegar-legar di dalam otakku pelbagai cara untuk aku mengatasinya. Ingin meminta pada abang sulungku, dia baru sahaja memasukkan RM200 ke dalam akaunku untuk membayar yuran kolej. Salahku juga boros hingga wang aku akhirnya habis juga. Tidak sanggup meminta padanya. Abang kedua-sedang dalam persiapan untuk majlis perkahwinannya sebelah keluarga kami. Tidak tegar aku ingin meminta padanya. Abang ketiga? Telah banyak menghabiskan  duit untuk rumahku di Taiping dan belanja rumah. Yang tinggal hanya abang keempat. Baca status Facebook adik lelakiku, baru selesai SPM dan sedang bercuti. Ah. Dia juga memerlukan duit untuk membeli nombor pin UPU. Abang keempatku sudah bersetuju untuk memberinya sedikit duit. Tak sanggup meminta padanya setelah dia memberikan wang pada adikku yang lebih jauh memerlukannya. Hilang juga harapan pada satu-satunya harapan.

Okey. Tak mengapa. Aku membuat keputusan untuk 'survive' dengan saki baki wang yang ada. Mengikut perkiraanku, cukuplah jika aku benar-benar berjimat. Aku cuba untuk berpuasa, bagus juga sebenarnya berpuasa pada hari peperiksaan. Otakku lebih cergas dan mindaku lebih aktif. Alhamdulillah.

Hari kedua terakhir aku di kampus, secara 'official' nya duit aku habis dengan membeli kuetiau goreng.(Ini ejaan betul,boleh rujuk kamus dewan :) Alhamdulillah, kenyang malam tu, baru habis exam pula tu. Sepanjang minggu itu, aku fikir manalah nak korek duit ni. Tak sampai hati nak minta daripada abang-abang. Nak pinjam duit kawan, hurm...Tak payahlah. Nak cuti dah. Bila boleh bayar? Aku terfikir, Pinas,Pinas. ALLAH kan ada! Alhamdulillah, dalam minggu peperiksaan sentiasa ini sentiasa ada masa untuk melakukan solat sunat dhuha. Solat sunat dhuha ni kan pintu rezeki, detik hatiku.


Allah berfirman :

"Wahai Anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya "
(Riwayat Ahmad)

Aku bermunajat padaNya, 

Ya ALLAH Ya Tuhanku,
Sesesungguhnya Kau lebih mengetahui atas keadaan ku.
Aku mohon padaMu, agar cukupkanlah aku dengan rezekiMu,
Jika kurangnya ia padaku, maka kuatkanlah aku untuk menghadapi ujianMu ini
Agar aku akan jadi hambaMu yang sentiasa bersyukur.

Pada hari aku ingin pulang, aku masih lagi membuat persiapan terakhir mengemas barang-barangku. Setelah selesai, aku menunggu sahaja abangku untuk mengambilku. Stok makananku juga sudah habis. Pagi itu aku hanya mengisi perutku dengan gula-gula yang tidak sengaja aku terjumpa dan juga saki baki air mineral yang ada padaku. Selepas itu, jadilah aku penunggu yang setia menunggu ketibaan abangku. Beliau tiba pada lewat petang. Ajaibnya, sepanjang aku menunggu beliau hingga lewat petang, tidak sedikit pun perutku mengaduh kelaparan meskipun sumber tenaga yang aku ambil hanyalah  sebiji gula-gula!

Subhanallah! Terdapat pelbagai bukti kekuasaan ALLAH di sini.

Pertama, yang mengenyangkan perut bukan makanan, tetapi ALLAH yang menjadikan perut kita kenyang. Terus terngiang-ngiang suara arwah Abah yang berpesan padaku semasa beliau sedang memandu.

Kedua, berdoalah kepada ALLAH. Nescaya, pasti Dia akan memakbulkan doa hamba-hambaNya. Hanya  jika kita benar-benar melihat segala yang terjadi ada hikmahnya. Sahabatku pernah berkata, "ALLAH sentiasa memakbulkan doa hambaNya. Jika bukan yang kita minta, ALLAH beri perkara lain yang lebih baik daripada itu. Jika bukan di dunia, pasti di akhirat." Berdoalah kepada ALLAH. HambaNya yang benar-benar bertawakal pasti tiada rasa kecewa dalam dirinya. Ada riwayat mengatakan, ALLAH malu jika tidak memakbulkan doa hambaNya.

Cerita penuh ajaib ini diakhiri dengan abangku membelanja aku makan. Maka, perut yang kosong telah terisi. Alhamdulillah. Rezeki milik ALLAH. Kalau kita sentiasa memberi, pasti ALLAH akan juga sentiasa memelihara rezeki kita walaupun pada hakikatnya kita tidak berwang.

Subhanallahi wabihamdihi. Subhanallahil a'zim :)

Moga tulisan ini menjadi saksi,
Syahadah al-Humaira.


Tuesday 30 October 2012

Sambung2.. :)


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Okey, sekarang jom kita sambung balik cerita yang terbengkalai daripada entri saya yang lepas. 
Tarik nafas dan senyum! :)           .................................................................................

Badan aku menggelosor ke bawah, menyandar dinding yang melekapkan telefon awam itu. Ayat yang baru aku dengari tadi cuba ditelan dan dihadam. Tanpa dipinta, juraian air suam mengalir di pipiku selari dengan nafasku yang semakin sesak.

"Orang kat balai polis ni," apa yang abang aku kata ni? Darahku berderau. Kenapa?
"Dia tak tau ke? Mak dah tak ada. Orang nak daftar sijil kematian ni. Nanti Bang Pun ambil dia kot."

Pagi itu, hari itu tak mungkin aku lupakan. Malam sebelum pagi itu aku tidur lena namun masih disulami keresahan tetapi aku tak menyedarinya. Enam petang hari sebelum pagi itu aku mencium tangannya dan dahinya. Memohon kemaafan darinya, entah bagaimana ia bagaikan spontan keluar dari bibirku kerana aku jarang memohon maaf daripadanya (kecuali pada hari raya). Dia mengangguk lemah, kali pertama memberi respons atas apa yang kami katakan. Aku akui perangainya berubah apabila sakitnya semakin tenat. Aku faham penderitaan yang ditanggungnya bukan calang-calang. Dan aku akui kerana sikapnya begitulah aku kadangkala menjadi hilang sabar ketika menjaganya. Pernah sekali kerana aku memarahinya memukul-mukul adikku dan juga diriku ketika kami ingin menguruskannya, tangan yang berdosa ini telah memukulnya kembali. Adikku yang berada di sebelahku terlopong. "Pinas...," ucapnya perlahan.

Aku lupa bahawa dia bukan dirinya lagi. Aku bagaikan tidak mengenalinya lagi tapi selamanya dia tetap ibuku, dunia akhirat. Astaghfirullahal a'zim! Setiap kali aku mengenangnya kembali, pasti mata ini akan bergenang, penyesalan datang menyerbu. Malah, peristiwa itulah yang mula-mula menerjah fikiran apabila menerima berita hiba itu. Sahabatku mengingatkan aku syukurlah aku sempat memohon maaf padanya namun hati ini belum mampu tenang tatkala memikirkannya. 

"Mak, ampunkan Pinas ye."

Baru semalam aku menuturkan kata-kata itu, dia mengangguk tetapi sekarang aku melutut di depannya yang sedang terbujur kaku. Perlahan-lahan aku genggam tangannya, sejuk. Dua orang abangku yang berada di sebelahku turut menangis. "Mak..!" Jiranku, Cik Ani datang dan memegang bahu mereka, "Dah dah. Jangan menangis. Baca Yasin banyak-banyak untuk Mak."

Aku melihat Abah di muka pintu, wajahnya tenang namun aku tahu ada kesedihan yang terselindung. Abah meminta aku dan adik perempuanku untuk memandikan Mak. Aku ingat lagi bahawa aku ada seorang mak cik menegurku kerana meletakkan tangan di atas dada ibuku. "Jangan tekan dada Mak macam tu. Sakit dia." Lantas aku teringat bahawa walaupun hanya curahan air atas jasad mereka yang telah meninggal dunia itu, mereka merasa kesakitan yang amat sangat.

Mak dibawa ke ruang tamu untuk dikapankan. Aku kesat air mata dan mencium dahi dan pipinya-buat kali yang terakhir. Adik-beradikku yang lain turut melakukan perkara yang sama. Aku tahu itulah kali terakhir aku menatap wajahnya. Sehinggalah ibuku selamat dikebumikan, aku tahan tangisan dari terus mengalir. Mak Teh, ibu saudaraku serta adikku setia di sisi, memberi sokongan.

Setelah selesai kami sekeluarga menghadiahkan bacaan Yasin untuk Mak, dalam kereta akhirnya Abah mengalirkan air mata namun nadanya tetap tenang. Menyampaikan wasiat daripada Mak yang menyuruh kami anak-anaknya supaya menjaga solat lima waktu. Aku tahu Abah sememangnya pencinta yang sejati. Sebagaimana sabarnya Abah menjaga Mak ketika Mak sakit, tanpa jemu membawanya ke sana ke sini untuk mengubatinya serta tidak pernah meninggalkannya. Ya ALLAH, kurniakanlah aku suami yang setia seperti Abah, atau lebih lagi seperti setianya Rasulullah kepada Khadijah.

Andai ALLAH mentakdirkan masa boleh diundur, aku ingin sekali menjaganya dengan sangat baik, penuh kasih sayang. Aku ingin sekali memeluknya erat, mencium pipinya puas-puas dan mengatakan aku sangat sayang padanya! Kini, aku terlalu rindu padanya, aku hanya mampu berdoa dan penuh mengharap, 

Ya ALLAH, aku rindu akan ibuku tetapi aku sedar dia hanya pinjaman Kau padaku. Maka aku memohon dengan kasihMu, keagunganMu, ampunilah segala dosa ibuku, Habshah binti Bakar. Wahai pemilik syurga, temukanlah dan satukanlah kami di dalam Jannatul Firdausi-Mu ya Rabbi.

...............................................................................................

Pembaca yang saya kasihi kerana ALLAH,

Ingatkah kita bagaimana sabarnya ibu menjaga kita semasa kita kecil di mana kita lemah tidak berdaya? Bagaimana pula kita akan menjaganya ketika dia pula lemah tidak berdaya? Adakah anda akan termasuk dalam kalangan anak yang akan berebut-rebut dengan adik-beradik anda untuk menjaga ibu anda?
Tepuk dada, tanya iman. Satu pesanan saya, lakukan sekarang sementara anda masih berkesempatan. Jangan akhirnya menyesal seperti saya. 


" Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Ibu mereka telah mengandungkan mereka dalam keadaan yang sangat lemah, dan menyusukan mereka sehingga berusia dua tahun. Bersyukurlah pada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada Aku tempat kau kembali"
(Luqman;14)

Maaf atas segala keterlanjuran yang mengguris perasaan.
Next entry : Abah.
Till next time, insyaALLAH.
Wassalam..

Sunday 28 October 2012

Mak,abah,anakmu rindu padamu...

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh..

Pembaca yang saya kasihi kerana ALLAH sekalian,
Sekian lama baru saya berpeluang update blog saya yang macam tak berapa ada progress ni tapi insyaALLAH saya akan usaha untuk update blog ni lebih giat lagi :)

Cuba teka kali ini saya nak cerita pasal siapa? Yup! Mak dan Abah saya yang tercinta! <3


Mak dan Abah-Habshah binti Bakar dan Ramli bin Hasan

Tanpa mereka,tak akan ada saya kat dunia ni. Alhamdulillah ya ALLAH, Kau kurniakan mereka sebagai ibu bapaku.

Tahun 2012 ni genaplah tiga tahun Mak tiada di sisiku, dan genaplah dua tahun Abah meninggalkanku,menemui Maha Pencipta. Masih segar lagi di ingatanku saat-saat pemergian mereka. Awal tahun 2009, aku berada pada awal tingkatan 4, dalam kesibukan aku ingin berpindah sekolah, aku mendapat berita Mak telah pun dijemput oleh ALLAH.

Pada penghujung tahun 2010, bulan 10, dalam kesibukan aku untuk bersedia menghadapi SPM, aku mendapat panggilan telefon daripada abangku bahawa Abah telah pergi buat selama-lamanya, ALLAH lebih menyayangi dirinya. Bukan maksudku untuk membuka pekung di dada apabila bercerita sedemikian rupa. Bukan maksudku untuk mempersoalkan ketentuan ALLAH apabila menaip sebegini. Hanya aku ingin berkongsi sedikit sebanyak kesilapanku yang aku harapkan tidak diulangi oleh pembaca sekalian.

"A mother can take care of ten children, but ten children are not sure can take care of a mother". Have you ever heard this quote? It's make sense, right? Pertama, kesilapan yang aku lakukan- tidak menjaga mereka dengan sepenuh hatiku.


Friday 5 October 2012

assalamualaikum warrah matullahi wabarakaatuh ;)


Syukur alhamdulillah..dengan rahmatNya dapat saya mulakan juga penulisan blog setelah lama saya melintaskan niat.

Salam perkenalan juga saya hulurkan. Ruang ini insyaALLAH saya khaskan untuk saya berkongsi mengenai dunia ini dari kaca mata saya dan harapnya dapat memberi inspirasi kepada orang lain

Pertama sekali, saya ingin menceritakan mengapa saya memilih 'every pictures tell a story' sebagai tagline saya. Hal ini kerana daripada apa yang mata kita lihat terus masuk ke dalam minda kita kan? Paling kurang kita akan memikirkan tentang imej yang terbentuk di dalam mata kita dan terus dihantar ke otak dalam masa kurang dari satu saat(subhanallah!). Pemikiran setiap orang itu lain-lain. 

Let me give an example.
What do you think when you see the picture above?
It would be anything,right? Everybody have their own opinion. It could be:
~ a caterpillar- a symbol the start of a life.
~it is a beautiful picture.
~yuck! I hate this creature
or... It could be, 'Subhanallah. He made a variety kinds of caterpillar end up with a various beautiful butterfly.'

Kesimpulannya, syukurilah penglihatan yang diberi pada kita dengan sentiasa memikirkankan tentang kebesaranNya. Selami dengan mata jiwa, fahami dengan mata hati :)

Till next time, insyaALLAH..
Wassalam..